Sunday, November 18, 2012

[22] Neon II

[sambungan dari Neon, entri ke 16]

Malap
Cahaya neon yang menyinari bangku serta sebahagian taman permainan itu makin malap cahayanya. Malam pula makin pekat dan gelap. Sudah lama bangku itu terbiar kosong, sejak kau mula berhenti dari mendongak langit mengira bintang yang berkelip samar. Malam itu langit bersinar terang bermandikan cahaya bintang dan bersuluhkan cahaya bulan. Ada bulan bertemankan bintang, bersama menyinar terang pekat malam yg hitam dan gelap. Namun sepi masih lagi setia, duduk dibangku membunuh perasaan bahagia. 

Resah

Satu perasaan tidak enak dapat aku rasakan sedang berkampung dalam hati. Seumpama satu keluarga rama-rama yang sedang enak berkelah dalam jasad aku ini. Kita sudah lama tidak ketemu, berkomunikasi pula sangat jarang. Aku rindu. Tapi rindu yang dirasa terpaksa aku pendam disudut hati yang semakin perlahan degupannya. 

Lambat
Kau tiba lambat malam itu. Kebiasaannya kau mesti duduk bersandar mendongak langit dibangku. Tapi sudah lama bangku itu dibiarkan kosong, tidak berteman. Aku seakan faham bangku itu jika ia punya perasaan. Kedengaran bunyi tapak sandal kau mengetuk lantai. Aku toleh kebelakang. Kau sedang menghala kearahku. Ini kali pertama aku lihat kau dalam masa dua bulan. Sudah begitu banyak yang berubah. Kau senyum. Dan aku langsung tersipu malu. Aku suka perasaan celaka jatuh cinta. Ia buat kau ibarat sang penggila yang sudah tidak dapat membeza apa-apa. Ini perasaan bahagia yang celaka. 

Senyap

Kau duduk dan membiarkan sepi menggamit suasana malam. Pelukan angin yang dapat aku rasa menggigit tulang menambah rasa tidak enak yang makin tumbuh mekar dalam jasad. Aku tidak mahu membuka bicara walau aku punya sejuta kata yang mahu aku lafazkan serta sejuta rasa yang aku mahu zahirkan. Biar kau yang memecah kesunyian malam dan menghalau sepi, si pembunuh rasa dalam diam. Laungan octave si penghisap darah aku biarkan saja berlegar dikepala. 

Pecah
Lerai segala bila kau kata kau sudah punya pengganti si dia. Langsung mata aku berkaca tapi cuba aku kuatkan, terpaksa menjadi kuat supaya aku tidak mencemar suasana bahagia kau berlipurlara perihal bersama dia dengan air mata aku yang murah dan hina. Kau sedang bahagia sehingga ternyata jelas terpancar dari wajah kau, bersinar mengalahkan cahaya neon. Sunyi malam dipecahkan dengan suara rancak kau berbicara bahagia tentang si dia yang kau sedang gila dan puja. Bintang dan bulan seakan berpakat malam ini, bersinar terang menyuluh ke muka kau yang sedang berseri dan bercahaya, bagai sedang  menelan dan mengecap rasa bahagia, rasa bila hati dimiliki.

Sakit
Nafas aku mogok secara tiba-tiba. Hati pula makin berat degupannya. Perlahan-lahan aku toleh melihat kau sedang khayal bercerita cinta. Seumpama sedang berada dipentas teater yang gah, dibantu oleh teknik pencahayaan yang halus dan gaya penceritaan yang tajam memberikan imej estetika persis sang arjuna cinta yang sedang bermonodrama; dengan hanya aku sebagai penonton yang setia fokus dan teruja. Ak teruja melihat kau bercerita. Aku teruja melihat kau bahagia. Pergi celaka dengan rasa sakit ini, jika kau diumpama racun, kan aku teguk sampai titisan terakhir. Kerna rasa sakit ini, rasa celaka ini bisa bikin aku bahagia. 

~

Tidak pernah sekali aku salahkan kau kerna aku tahu, aku dan kau hanyalah satu cerita fiksyen. Mana mungkin aku bisa dan layak berdiri sebelah kau, memegang tangan kau, mengucup dahi kau, berkongsi nafas kau, menanam rasa cinta di bibir kau, merasa bahagia bersama kau kerna kita tidak mampu diibaratkan dengan apa-apa atau siapa-siapa. Bezanya bagai infiniti. Mungkin sebab itu aku lebih rela melihat kau bermesra dengan hilai tawa seseorang dari bersahabat rapat dengan kemurungan. 

Jadi benarkan aku untuk terus mencinta kau. 

Boleh sayang? 

p.s. Masih setia menunggu bahagia tiba.